7 Oct 2010

Penat

Tahun ini adalah tahun yang amat bertuah bagi aku walaupun agak meletihkan. Benar kata orang, jika hendak berjaya, bukan dengan air liur semata tetapi dengan airmata dan juga keringat. Terkadang aku menangis sendirian kerana kerja-kerja yang berlonggokan. Sukar sekali bagi aku mengimbangi kerjaya dan rumah. Jika kau lewati lorong ini, lalu singgah dirumah usang ini, kau pasti tidak percaya keadaan aku disini. Rumah aku berselerak, sambil aku terjerit memarahi anak yang seorang tetapi kudratnya menyelerakkan rumah bagai sepuluh orang anak. Kucing aku terlalu gemar membuang air merata-rata dan aku akan terjerit lagi memarahi kucing sambil mengenggam alas kaki untuk dibasuh. Terkadang juga, masakan aku hangus gara-gara alpa menyiapkan kerja dihadapan komputer. Aku akan terjerit lagi kerana terkejut kuali ku sudah hitam! Bila aku alpa, aku hairan kenapa hidung aku juga begitu; tidak terbau apa yang mendatang didapur.

Terkadang. Terkadang. Terkadang. Oh! begitu banyak tugas yang harus aku lunaskan!

Jika kau lewati lorong ini, lalu kau jengah rumah usang aku, maafkan aku. Dedaunan kering belum aku sapu.


5 Oct 2010

Tolonglah jangan pentingkan diri sendiri

Bukan sekali. Juga bukan dua kali. Tidak juga tiga. Sebenarnya beribu kali. Telah beribu kali (atau beratus ribu? Aku hilang kiraan...) aku melihat betapa tidak prihatinannya ibubapa.

Aku cukup prihatin tentang hal ini: keselamatan anak-anak. Sepatutnya apabila berjalan di tepi jalanraya, ibubapa perlu memimpin anak-anak dibelah yang tidak bersebelahan dengan jalanraya. Maknanya ibubapalah yang berjalan bersebelahan jalanraya. Zaman sekarang, semua orang tergesa-gesa membawa kenderaan meskipun dikawasan perumahan atau dilorong-lorong yang sempit. Jadi, untuk keselamatan anak-anak, tolonglah, pimpin anak tu disebelah yang selamat. Fikirlah.

Lagi satu, aku nak bebel tentang ibubapa yang bawa anak naik motor. Anda bertopi keledar tetapi anak tidak. Kenapa? Tiada topi keledar bersaiz kanak-kanak? Atau harganya mahal, tidak mampu? Kalau tidak mampu, apa salahnya naik bas awam. Nyawa anak anda lebih mahal dari topi keledar. Fikirkanlah.
 
Copyright 2006-2011 the other side of emila. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan